Pada awal Februari tahun 2017, aku telah berangkat sendirian dari Sabah ke utara semenanjung Malaysia untuk menyambung kembali pengajianku diperingkat sarjana muda dalam bidang perakaunan di sebuah universiti yang terkemuka. Aku tidak kisah berangkat sendirian kerana Kedah sudah bagaikan kampung halaman keduaku. Sewaktu diploma dahulu pun aku belajar di sebuah kolej di negeri itu juga. Negeri Kedah bukanlah satu tempat yang asing lagi bagi diriku.
Setibanya aku di lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang pada petang itu, aku disambut mesra oleh sahabat kolejku dan keluarganya yang akan menemaniku ke universiti tersebut pada esok hari. Kenalan yang begitu baik, banyak aku terhutang budi dengan mereka.
Pada keesokan hari, kami tiba di universiti tersebut sebelum tengah hari. Usai mendaftarkan diri di sebuah dewan dalam kawasan kediaman pelajar, mereka pun membantu aku mengangkat barang-barang masuk ke bilik pelajar sebelum meminta diri untuk pulang ke rumah. Terasa sunyi dan kosong perasaanku saat itu. Yalah, tempat baru kenalah cari kawan baru. Aku pula jenis susah nak mesra dengan orang. Bukan sombong, tapi entahlah, sukar untuk aku jelaskan. Sesiapa yang sekepala dengan aku tahulah apa yang aku maksudkan ini.
Nasib baik ada teman sebilik, tidaklah terasa sunyi sangat memandangkan pelajar senior masih belum pulang ke kampus. Dalam sebuah bilik tu hanya kami berdua sahaja kerana bilik pun tidaklah sebesar mana. Almari, katil dan meja belajar hanya terletak bertentangan sahaja, satu di sebelah kanan pintu dan satu lagi di sebelah kiri. Pintu bilik pula bertentangan dengan tingkap. Pada petang itu, kami diarahkan oleh fasilitator untuk berkumpul ke dewan pendaftaran kami pada pagi tadi bagi program orientasi atau minggu suai kenal. Aku pun pergilah sekali dengan teman sebilik aku.
Aku ingat-ingat lupa program itu berlangsung berapa hari tapi dalam tempoh tu, sewaktu aku sedang menyusun barang-barang aku ke dalam almari, teman sebilik aku menyatakan bahawa bilik yang kami inap ini hanyalah penempatan sementara. Selepas minggu suai kenal tamat, kami akan dipindahkan ke kediaman tetap masing-masing. Aku pun berhenti menyusun barang-barangku masuk ke dalam almari. Nasib baiklah aku tidak habis punggah keluar semuanya lagi.
Pada hari terakhir minggu orentasi, kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Pembahagian ini bertujuan untuk menempatkan pelajar kepada beberapa kediaman di dalam universiti tersebut. Setelah itu, semua pelajar baharu pun sibuklah berjalan kaki mengangkat barang masing-masing ke kediaman baharu termasuklah aku. Masa proses perpindahan itu aku tidak ingat pukul berapa, tetapi tidak salahku pada waktu petang beranjak ke maghrib ataupun malam. Maklumlah, cerita lapan tahun lepas.
Selesai mengangkat barang-barang, membersihkan ruang bilik dan mengerjakan solat maghrib, aku pun berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri. Lebih kurang 10 - 15 minit kemudian, aku pun keluar dari bilik air menuju bilikku. Ketika aku melewati koridor tersebut, kedengaran sayup suara pelajar lain yang tinggal di bilik bertentangan yang agak jauh dariku.
Aku membuka kunci pintu bilik lalu masuk dan menyalin pakaian tidur. Tiada tanda-tanda aku akan tidur berteman pada malam itu. Jadi aku menganggap bahawa rakan sebilikku kemungkinan adalah seorang pelajar senior yang akan balik ke kampus dalam sehari dua lagi. Usai menyalin pakaian, aku pun mengerjakan solat isyak. Setelah selesai solat, aku terus menyambung memunggah dan menyusun pakaian dan barang-barang lain yang tersedia bersebelahan dengan katilku.
Sedar tak sedar, jam telefonku sudah menunjukkan lebih kurang pukul 10:30 malam. Masih berbaki sedikit lagi barang yang belum habis ku susun ke dalam almari. Aku memutuskan untuk menyiapkan kerja tersebut pada malam itu juga supaya aku dapat berehat panjang pada keesokan harinya. Sedang asyik menyusun dan melayani perasaan yang masih jet lagged dan sedikit homesick, aku terdengar satu bunyi aneh. Sayup-sayup kedengaran daripada luar tingkap bilikku satu bunyi yang sukar kujelaskan dan tidak pernah kudengar seumur hidupku. Ianya mirip rintihan seseorang, namun kekadang terdengar seperti suara ketawa dalam tangisan. Suara rintihan tersebut tidak terlalu kuat, tapi kedengaran jelas dan dekat dengan tingkap bilikku.
Aku terpegun beberapa saat, cuba mencari satu penjelasan rasional berkenaan bunyi tersebut. Namun, tidak semena-mena bulu romaku meremang setelah aku teringat aku berada di tingkat satu (di atas ground floor). Mana mungkin, suara siswi lain kedengaran sebegitu jelas daripada tingkap. Bilik yang terletak di bawah bilikku (ground floor) juga kosong. Apa lagi, pantas aku berdiri lalu melompat ke atas katil dan membaluti seluruh tubuhku dengan selimut kerana takut benda itu menampakkan dirinya didepanku. Aku sempat melirik pada skrin telefon pintar ditanganku yang menunjuk ke angka 11.00 malam. Lampu bilik kubiarkan saja terpasang sehingga ke pagi. Dalam ketakutan, aku akhirnya terlelap juga akibat keletihan.
Kejadian tersebut merupakan satu-satunya pengalaman paranormal yang aku lalui sepanjang pengajianku di universiti tersebut selama lebih kurang tiga tahun. Terdapat beberapa insiden kecil yang aneh, namun tidak cukup mrmbuatku bingung dan takut seperti suara rintihan tersebut.
Untuk pengetahuan pembaca semua, aku sudah melakukan carian berkenaan bunyi musang kerana dikatakan bunyinya mirip seakan-akan bunyi langsuir atau pontianak. Namun aku yakin, apa yang aku alami itu bukanlah bunyi sang musang.
Wallahualam.