Friday, 27 December 2024

Pengalaman Paranormal Nenek: Terserempak Dengan Duharung

Saya merupakan seorang cucu yang sangat suka mendengar ceritera mistik ataupun paranormal nenek saya ketika zaman muda beliau. Walaupun saya adalah seorang budak yang tersangatlah penakut sewaktu kecil, saya sanggup menahan perasan itu semata-mata teringin mendengar pengalaman mistik nenek saya. Kemungkinan besar disebabkan perasaan takut itu dan kisah nenek yang kebanyakannya berlatarkan hutan belantara membuatkan saya teruja untuk terus mendengar. Haha pelik kan, tapi begitulah kenyataannya.

Bayangkan, ada satu malam tu ketika sedang asyik melayan cerita nenek, bekalan elektrik terputus.. dan boleh-bolehnya saya terlompat hampir sekaki dalam keadaan duduk bersila sebab terkejut pak cik saya menyakat (sentuh bahu) daripada belakang.

Selalunya, saya akan meminta nenek untuk menceritakan kisahnya ketika kami sekeluarga datang berkunjung ke rumah nenek. 

Untuk blog kali ini, saya akan kongsikan dua cerita pengalaman nenek saya terserempak dengan satu lembaga yang dikenali dengan nama duharung di Sabah.


Duharung

Duharung merupakan satu istilah tempatan bagi masyarakat etnik KadazanDusun di Sabah yang bermaksud lembaga jadi-jadian yang boleh bertukar dan menyerupai pelbagai bentuk.


Cerita 1: Terserempak Dengan Duharung Dalam Perjalanan ke Kebun

Kejadian ini berlaku pada sekitar 1950an. Pada waktu itu, nenek masih remaja dan belum berkahwin. Kawasan perkebunan tersebut masih dikelilingi hutan tebal. Apa yang kelihatan hanyalah jejak jalan tanah yang dicangkul ketika zaman pendudukan Jepun di Sabah. Pada suatu hari, nenek dan orang tuanya berjalan-kaki seperti biasa menuju ke kebun mereka yang terletak di sebuah kawasan perbukitan di dalam daerah Ranau. Kawasan tersebut kini merupakan sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Sumaang.

Sedang dalam perjalanan melalui denai, mereka terjumpa sebiji buah kelapa yang agak aneh bentuknya. Bahagian atas dan bawah kelapa tersebut kedua-duanya berbentuk seperti bahagian bawah (punggung) kelapa. Mereka melemparkan pandangan ke sekitar, namun sebatang pokok kelapa pun tidak kelihatan. Ibu nenek pun pantas melontarkan mantera sebagai pelindung diri setelah menyedari bahawa buah kelapa tersebut merupakan duharung yang menyerupai bentuk kelapa. Pada ketika itu, nenek dan orang tuanya masih menganut agama Pagan. Oleh itu, amalan bacaan mantera untuk menyembuhkan penyakit, melindungi diri dan sebagainya masih menjadi satu kebiasaan.

Apa yang terjadi selepas itu saya sudah lupa. Saya akan tanyakan pada nenek semula jika berkesempatan berkunjung ke rumahnya dan kemaskini di sini. 


Cerita 2: Terserempak Dengan Duharung Dalam Perjalanan ke Bendang

Kejadian ini berlaku pada sekitar 1960an. Pada waktu itu, nenek telah berkahwin dan berpindah mengikut suaminya ke sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Timbua. Kawasan bendang tersebut masih dikelilingi hutan tebal. Pada suatu hari, nenek dan ahli keluarga yang lain berjalan-kaki seperti biasa menuju ke bendang yang terletak tidak jauh dari perkampungan tersebut. Untuk pengetahuan pembaca, perkampungan ini juga masih di dalam daerah Ranau.

Pada sekitar pukul 2:00 petang, mereka berjalan-kaki ke bendang menggunakan jalan pintas di tanah milik seorang penduduk kampung. Ketika melalui kawasan tersebut, nenek ternampak satu lembaga sedang berdiri di atas rumpunan pokok bambu. Lembaga yang menyerupai setengah badan kuda itu juga memandangkan ke arah mereka dengan pandangan tajam dan mulai bertukar warna kemerahan.

Yakin bahawa lembaga yang dilihat itu merupakan duharung, nenek pun membaca mantera pelindung diri dan lembaga tersebut pun hilang daripada pandangan.


Akhir Kata

Meremang juga sebenarnya saya menulis blog genre mistik atau paranormal ini pada waktu tengah malam. Tapi disebabkan saya tengah berkobar-kobar nak simpan kisah pengalaman nenek saya dekat sini, saya siapkan juga. Ada beberapa lagi kisah lain yang akan saya kongsikan dikemudian hari, inshaallah.

Tidak dinafikan bahawa benda ghaib ini sememangnya wujud. Namun, kita tidaklah perlu terlalu taksub dan takut akan benda ini kerana ianya juga merupakan ciptaan-Nya.

Wallahualam.

Tuesday, 10 December 2024

King’s Salad [Ulam Raja] - Cosmos caudatus


 Ulam Raja (King’s Salad)

     

Cosmos caudatus, ataupun lebih dikenali dengan nama tempatannya iaitu Ulam Raja merupakan salah satu tumbuhan berbunga jangka pendek yang sangat popular dalam hidangan masakan Melayu sebagai ulam yang dimakan secara mentah. Ulam Raja mempunyai bau yang seakan-akan mangga.

     Tumbuhan ini boleh mencapai ketinggian sehingga 2.5 meter. Bunganya yang kekadang berwarna keunguan, merah jambu dan keputihan mampu menarik perhatian serangga kecil seperti kupu-kupu dan lebah untuk hinggap ke tumbuhan ini untuk menikmati madu bunga tumbuhan ini. Araknida seperti lynx spider dan Garden Orbweavers pula sering memanfaatkan tumbuhan ini sebagai platform untuk tempat berteduh dan menyerang-hendap mangsa. 

     Ulam Raja berasal daripada Amerika Latin dan Hindia Barat, namun tumbuhan ini telah dinaturalisasikan ke kawasan beriklim tropika di Asia, Afrika dan Australia.

Bunga Ulam Raja


Daun Ulam Raja



Pokok Ulam Raja


Garden Orbweaver, sejenis labah-labah daripada genus Argiope yang menghuni biji benih matang Ulam Raja

Sejenis telur serangga diranting mati Ulam Raja



p.s: Saya suka tanam dan ambil gambar ja pokok Ulam Raja ni sebab bunganya cantik. Tapi nak makan tak reti. Hehe..